Pahang, TNB Materai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai

KUANTAN, 1 Mac – Kerajaan Pahang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai bagi memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan operasi stesen janakuasa di Cameron Highlands itu terpelihara.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat peruntukan khas bagi memastikan kedua-dua pihak menjaga kawasan tadahan dengan baik bagi mengurangkan hakisan dan pemendapan sepanjang skim hidroelektrik itu beroperasi.

“Kita perlu bersama mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang
kegiatan atau penggunaan tanah di kawasan tadahan di hulu yang boleh mengakibatkan hakisan tanah dan pemendapan atau apa jua yang boleh menjejaskan pendapatan ekonomi kesan daripada pembangunan skim hidroelektrik Ulu Jelai ini.

“Usaha bersepadu semua pihak amat diperlukan bagi memastikan aspek pengurusan dan pemuliharaan di kawasan tadahan sentiasa diberi keutamaan demi kepentingan generasi akan datang. Jika terdapat aktiviti mencurigakan di sepanjang skim hidroelektrik ini, tindakan segera perlu diambil,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian skim hidroelektrik itu di Kuala Lumpur malam tadi, yang menyaksikan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri, manakala TNB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baharin Din.

Majlis turut disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi TNB Datuk Seri Hasan Ariffin.

Sehubungan itu, Wan Rosdy mengingatkan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan dan Jawatankuasa Penasihat untuk Stesen Janakuasa Ulu Jela sentiasa peka serta mengurus dan memulihara kawasan tadahan tersebut dengan sebaiknya.

Selain memulihara alam sekitar, beliau berkata perjanjian itu juga membolehkan kerajaan negeri memperoleh pendapatan melalui penggunaan sumber air bagi penjanaan elektrik, selain bekalan air mentah dan mengawal selia tebatan banjir serta sistem pengairan di kawasan tersebut.

Sementara itu, Hasan menerusi kenyataan dikeluarkan TNB berkata skim hidroelektrik di Mukim Hulu Telom itu antara tiga stesen hidroelektrik terbesar di Cameron Highlands yang dibina di bawah tanah bagi mendapatkan tekanan air secukupnya untuk menggerakkan turbin bagi menjana tenaga elektrik.

Katanya stesen janakuasa yang siap pada 2016 itu, direka bentuk supaya mampu memberikan tindak balas pantas kepada sistem grid terhadap perubahan permintaan, khususnya pada waktu beban puncak dengan kawalan frekuensi kapasiti dua unit penjanaan yang berjumlah 372 Megawatts.

Penjanaan secara hidro adalah satu inisiatif ke arah kelestarian tenaga elektrik, bermaksud TNB dan Pahang menyokong agenda nasional yang menyasarkan 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Hijau (GHG) pada 2030, untuk bersama masyarakat antarabangsa menangani perubahan iklim melalui sasaran rendah karbon.

Secara bandingan, skim Ulu Jelai berupaya mengurangkan kira-kira 250,000 tan karbon dioksida setahun dengan mengambil kira pelepasan penjanaan arang batu dan bahan api fosil lain ketika tempoh puncak, yang secara tidak langsung menyumbang kepada plan strategik Hala Tuju Kelestarian TNB, iaitu mengurangkan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035, seterusnya pelepasan karbon sifar bersih pada 2050. – BERNAMA