Kerajaan Responsif, Komited Bantu PKS Tawar Pelbagai Pakej Ransangan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kerajaan akan kekal responsif dan komited untuk memberi penekanan khusus kepada keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menawarkan pelbagai pakej ransangan untuk membantu meringankan beban mereka semasa pandemik ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata memandangkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih bergelut susulan kesan pandemik yang mengubah pola ekonomi dan pasaran tempatan, langkah strategik perlu diberi perhatian sebagai talian hayat untuk kekal beroperasi.

“Kerajaan menyedari bahawa sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan 95.3 peratus daripadanya mengalami penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan (COVID-19),” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Enterprise 50 (E50), di sini, hari ini.

Noh berkata sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS yang berjumlah 1.15 juta atau 97.2 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di Malaysia telah menyumbang secara signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang memperuntukkan RM40 billion merangkumi pelbagai bentuk pinjaman, jaminan pembiayaan serta suntikan ekuiti merupakan komitmen kerajaan dalam membantu perniagaan untuk bangkit semula dan berdaya saing.

Kerajaan, katanya, komited untuk melaksanakan inisiatif dalam memacu perubahan bagi memastikan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat dicapai dengan tumpuan kepada menjana semula ekonomi, kesejahteraan dan inklusitiviti.

Mengenai prapelancaran E50 anjuran SME Corp itu, Noh turut memuji usahawan PKS atas peranan mereka dalam membina sebuah negara yang mampan dan strategik yang membawa kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif yang dijangka mewujudkan satu ekosistem keusahawanan kondusif.

“Dalam tempoh masa lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada merancakkan pembangunan industri strategik dan berimpak tinggi.

“Usaha akan disasarkan kepada menggalakkan adaptasi teknologi tinggi, peningkatan kemahiran, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mentransfomasi industri ini kepada penghasilan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, meluaskan pasaran global dan menarik pelaburan yang berkualiti,” katanya.

Tempoh pencalonan Anugerah E50 untuk PKS bermula dari 1 Mac sehingga 30 Jun, 2022 dengan 50 pemenang akan diumumkan pada November 2020.

Sehingga kini sebanyak 503 syarikat telah dicalonkan untuk anugerah tersebut yang memenuhi penarafan empat bintang dan ke atas dalam program Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) oleh SME Corp. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.