Melaka Terima Dua Lagi Tawaran Pengeluar Kenderaan Elektrik Dari China Buka Kilang Pemasangan – Exco

MELAKA, 28 Feb – Kerajaan negeri Melaka menerima dua lagi tawaran daripada syarikat pengeluar kenderaan elektrik dari China untuk membuka kilang pemasangan kereta elektrik di negeri itu.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata salah satu daripada syarikat berkenaan adalah pengeluar kenderaan e-hailing manakala sebuah lagi syarikat pengeluar bas elektrik.

Beliau berkata cadangan tawaran berkenaan telah diserahkan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk tindakan lanjut termasuk melakukan penilaian awal dan melihat potensi ke atas kedua-dua syarikat terlibat.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa kawasan baharu untuk dijadikan kilang pemasangan kereta elektrik yang dilengkapi kemudahan yang diperlukan pelabur seperti garis panduan yang diberikan mereka.

“Bagaimanapun ia mengambil sedikit masa kerana kita memerlukan kajian ke atas kawasan terlibat yang melibatkan keluasan yang agak besar bagi memastikan kesesuaiannya dijadikan kilang pemasangan kereta elektrik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kedua-dua syarikat berkenaan sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat tempatan yang berminat untuk terlibat dalam usahaBsama membangunkan kilang tersebut.

Beliau berkata polisi mesra perindustrian yang diamalkan kerajaan negeri Melaka menjadi salah satu faktor yang menarik lebih banyak syarikat antarabangsa untuk melabur di Melaka dalam industri automotif khususnya sektor pembuatan kenderaan elektrik.

Menurutya, pembukaan lebih banyak kilang pemasangan kenderaan elektrik di Melaka bukan sahaja akan meningkatkan nilai pelaburan negeri, malah turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu kepada anak tempatan dan menggalakkan penggunaan teknologi baharu yang lebih efisien.

Pada Januari lepas, media melaporkan Melaka bakal menerima pelaburan bernilai RM1 bilion membabitkan industri automotif termasuk pembinaan sebuah kilang pemasangan kereta elektrik pertama di negara ini di kawasan Perindustrian Elkay Lipat Kajang, Jasin.

Pelaburan itu melibatkan syarikat automotif China, Changan Automobile Corporation (Changan) dengan kerjasama syarikat bumiputera tempatan, Fieldman EV Sdn Bhd (FEV) menerusi pembinaan kilang di kawasan seluas kira-kira 200 hektar yang dijangka bermula dalam masa dua tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.