ATM Digerak Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan Dan Terengganu – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan tiga pasukan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin dalam hantaran di laman Twitter beliau memaklumkan Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dikerah ke Rantau Panjang, Kelantan manakala Batalion ke-16 RAMD dan Rejimen Kelima Artileri Diraja (RAD) masing-masing ke Hulu Terengganu dan Besut di Terengganu.

“Markas ATM beri perhatian penuh terhadap situasi banjir di Kelantan dan Terengganu ketika ini, ATM akan usaha sebaiknya bagi membantu setiap mangsa banjir di sana,” katanya.

Setakat pagi tadi, banjir di kedua-dua negeri terus mencatat peningkatan dan seramai 4,335 orang daripada 1,287 keluarga dilaporkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu manakala 3,222 orang daripada 1,034 keluarga di PPS Kelantan. – BERNAMA