MAEPS Diaktifkan Semula Untuk Ringankan Beban Hospital – Khairy

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang yang diaktifkan semula hari ini bagi meringankan beban di hospital daripada menjadi sesak dengan kes melibatkan pesakit COVID-19 bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ketika ini didapati banyak pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan intensif.

“Contohnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudahpun meningkatkan perkhidmatan untuk (kes) bukan COVID-19, jadi kita tak nak nanti semua (kes COVID-19) dirujuk semula ke HKL dan akhirnya jadi sesak.

“Kedua, kita telah melihat sekarang ini banyak kes yang masuk ke hospital yang mempunyai sampingan COVID-19, dia datang sebab rawatan lain, tetapi apabila buat ujian di hospital, didapati dia positif COVID-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan lawatan ke Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu merumitkan sedikit pengurusan di hospital kerana pesakit tersebut terpaksa diasingkan di wad COVID-19 dan pengasingan pesakit di MAEPS akan memastikan hospital tidak sesak serta mempunyai fleksibiliti untuk mengurus katil.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy berkata pembukaan semula MAEPS adalah satu langkah awalan sekiranya memerlukan.

Menurutnya, hal itu kerana ketika ini pesakit COVID-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah awal.

“Langkah ini dibuat kerana jumlah kes tinggi dan jika keadaan mendesak, pesakit COVID-19 berisiko tinggi boleh terus diberikan intervensi awal. Hospital pula boleh fokus kepada pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima dan dalam masa yang sama tidak perlu menjejaskan operasi kes bukan COVID-19,” katanya.

Semalam, Khairy pada sidang media berkata PKRC di MAEPS akan diaktifkan semula bermula hari ini bagi merawat kes berisiko rendah.

Selain itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata hanya 10 hingga 15 peratus bekas pesakit COVID-19 mempunyai komplikasi ‘Long COVID’ atau jangka panjang dengan kebanyakannya adalah golongan berisiko.

“Kita mempunyai protokol merawat ‘Long COVID’, terutamanya melalui penjagaan rehabilitatif. Saya telah meminta supaya kita meningkatkan lagi rawatan rehabilitasi untuk COVID-19 yang berpanjangan. Jadi kita memberi perhatian kepada kes Long COVID ini terutamanya mereka yang dalam kategori berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kontak rapat pesakit COVID-19 hanya perlu menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19, kerana ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) akan mengesan virus itu walaupun kadar kebolehjangkitan sangat rendah.

“Sebab itu kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan, RTK mencukupi kerana ia dapat kesan mereka yang mempunyai viral load yang tinggi.

“Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu, kontrak rapat, kalau dah booster (dos pengalak), hanya perlu buat RTK sebab itu dapat saring mereka yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac.

Dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat analisis menyeluruh terhadap isu kekurangan jururawat di hospital.

“Saya nak selesaikan betul-betul (isu) kekurangan jururawat kita, semalam pun saya ada dialog dengan kesatuan-kesatuan, pekerja, staf kumpulan pelaksana di KKM, mereka pun cakap benda yang sama. Saya mahu mencari punca dan mungkin selepas selesai isu doktor kontrak saya nak lihat pula kepada kumpulan pelaksana,” katanya. – BERNAMA