Pahang Pride Student Manfaatkan 238,000 Penerima

KUANTAN, 22 Feb – Kerajaan Pahang hari ini melancarkan bantuan persekolahan Pahang Pride Student yang melibatkan peruntukan RM5 juta untuk dimanfaatkan oleh 238,000 pelajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Beliau berkata bantuan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang pertama, pemberian kad diskaun 20 peratus kepada 150,000 ketua isi rumah bagi kategori B40 dan M40 untuk membeli kelengkapan sekolah seperti alat tulis dan pakaian seragam.

Kad diskaun itu boleh dipakai sepanjang tahun dan bukan hanya untuk kegunaan musim kembali ke sekolah sahaja, dengan pembelian boleh dilakukan di semua cawangan MBS Book and Stationaries.

“Menerusi kategori kedua pula selain kad diskaun berkenaan kerajaan negeri juga akan memberi RM100 kepada pelajar kategori miskin dan miskin tegar untuk pembelian barangan sekolah.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan mengambil kira banyak pihak yang terjejas dari segi pendapatan ketika pandemik COVID-19, dan kami berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit beban ibu bapa pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Pahang Pride Student di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Pahang Abdul Rahim Mohd Yunus.

Menurut Mohd Soffi, Jabatan Pendidikan Negeri menerusi Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti dan menguruskan pelajar yang layak menerima bantuan berkenaan.

Pahang Pride Student merupakan inisiatif ketiga Kerajaan Pahang dalam menjaga kebajikan rakyat selepas Pahang Pride Kid dan Pahang Pride Kasih yang dilancarkan bulan lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.