MEDAC Komited Tubuh Pusat Pengumpulan, Pengedaran Barangan Di Setiap Negeri

JOHOR BAHRU, 22 Feb – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited untuk menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan ke kedai koperasi (Coop Mart) di setiap negeri menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu bagi mengurangkan penglibatan orang tengah di samping mengawal harga barangan di pasaran, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna.

“Perancangan kita adalah ia (pusat pengumpulan dan pengedaran) mesti ada di setiap negeri supaya barang-barang ini dapat dikumpul dan diedarkan kepada Coop Mart.

“Kenaikan harga barang ini kerana banyak orang tengah dan kemudian pengangkutan lagi kena bayar, kalau boleh terus dengan pusat pengagihan, kita terus kepada Coop Mart,” katanya kepada pemberita selepas melawat De Metrology Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dilesenkan kerajaan bagi khidmat penentusahan alat timbang dan sukat, di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya telah bekerjasama dengan Koperasi Legasi Bhd dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bagi tujuan tersebut serta mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat lain.

“Kita sudah ada persefahaman dengan Legasi. Legasi ada tujuh pusat pengumpulan dan pengedaran, Angkasa sendiri sudah ada satu pusat pengedaran,” katanya.

Noh berkata kementeriannya juga akan mewujudkan lebih banyak Coop Mart di seluruh negara yang menawarkan barangan dengan harga lebih murah dari pasaran. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.