Program Semarak Niaga Perbanyak Akses Pembiayaan Kepada Sektor Perniagaan – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang dilancarkan hari ini dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor informal.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.

“Bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah. Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu pada kadar faedah kosong peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

“Bagi usahawan agromakanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan,” kata Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di sini, hari ini.

Untuk perniagaan yang lebih matang, beliau berkata institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim Dana Promosi IBS 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0).

Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta, jelasnya.

Sementara itu, bagi syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, Perdana Menteri berkata kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

“Salah satunya ialah melalui kaedah ekuiti pendanaan awam (crowd funding) dan pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing) yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), sebanyak RM100 juta,” katanya

Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi, Ismail Sabri berkata kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia.

Katanya kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta, manakala BPMB akan menawarkan Skim RESET (Rehabilitation and Support Through Equity), dengan saiz dana sebanyak RM500 juta.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama. Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS.

“Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar dan Kemudahan Agromakanan telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM22 bilion, disasarkan untuk membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

“Ingin saya tegaskan bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak mengambil kira penambahbaikan kepada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi PMKS yang terjejas yang telah saya umumkan baru-baru ini.

“Jelas sekali, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencerminkan prinsip Keluarga Malaysia dengan “tiada yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat,” katanya.

Seterusnya, beliau menambah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.