Semarak Awam, Swasta Dan NGO Digesa Bekerjasama Jayakan Semarak Niaga – PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kalangan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) digesa bekerjasama bagi merealisasikan inisiatif Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) demi kesejahteraan seluruh Keluarga (Perniagaan) Malaysia.

Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama sedemikian akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi membantu rakyat membina semula kehidupan mereka, memberi sokongan kepada perniagaan-perniagaan terjejas dan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara.

“Secara keseluruhan, kerajaan yakin inisiatif ini akan akan memulihkan kehidupan Keluarga Malaysia dan pembangunan sosio-ekonomi negara secara lebih seimbang, inklusif dan mampan,” katanya dalam wawancara bertulis bertajuk

“Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Bajet 2022)” pada Sabtu.

Perdana menteri berkata, Semarak Niaga merupakan komitmen kerajaan membantu kalangan perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bangkit semula serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman, termasuklah suntikan ekuiti,” kata beliau.

Malah, di bawah Semarak Niaga, kerajaan turut menyediakan jaminan pembiayaan berjumlah RM22 bilion yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), termasuk RM2 bilion khusus untuk Bumiputera yang akan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh, kata Ismail Sabri.

“Inisiatif Semarak Niaga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang mana seluruh komuniti usahawan daripada perusahaan mikro hinggalah syarikat tersenarai awam boleh memohon.

“Akibat pandemik COVID-19, kita tahu yang paling terkesan adalah golongan PMKS. Mereka perlu dibantu, tidak kira dari segi skim pembiayaan seperti pinjaman langsung, mahupun geran padanan supaya keupayaan mereka untuk memulakan semula perniagaan bagi jangka masa panjang dapat dijamin,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri mempelawa komuniti usahawan untuk merebut peluang tersebut yang akan membolehkan mereka pulih dan bangkit semula, sekali gus menyokong usaha pemulihan sosioekonomi negara.

“Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/. Portal interaktif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai skim-skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif Semarak Niaga ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, perdana menteri berkata kerajaan juga sentiasa komited dalam memangkin pemulihan serta meningkatkan daya tahan dan daya saing sektor perniagaan, terutama PMKS. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.