Peningkatan Kes COVID-19, Program Kerajaan Melaka Berjalan Seperti Biasa – Ketua Menteri

MELAKA, 20 Feb – Kerajaaan negeri akan meneruskan program rasminya seperti biasa buat masa ini mengikut prosedur operasi standard (SOP), meskipun berlaku peningkatan kes harian COVID-19 di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ini termasuk Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 28 Feb hingga 3 Mac ini.

“Buat masa ini juga semua penjawat awam di negeri ini boleh terus bekerja secara bersemuka dan masih tiada keperluan untuk melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR).

“Walaupun kita lihat terdapat trend peningkatan kes positif ketika ini dengan penularan varian Omicron, namun kita lihat ia banyak melibatkan kategori satu, di samping kemasukan pesakit di hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang masih rendah dan terkawal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Program “FirmanMu di Dadaku” di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Sulaiman berkata setakat ini program-program dirancang akan berjalan seperti biasa sehingga terdapat ketetapan baharu daripada Jawatankuasa COVID-19 Melaka.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan perlu mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan Kementerian Kesihatan untuk membuat sesuatu ketetapan berdasarkan situasi semasa.

Selain itu, Sulaiman berkata keputusan mengenai operasi bazar Ramadan dan pasar Aidilfitri akan dibuat kelak, selepas meneliti semua perkara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.