Pembukaan Sempadan Negara Dijangka Awal Suku Tahun Kedua

BATU PAHAT, 19 Feb – Awal suku tahun kedua tahun ini merupakan garis masa realistik untuk pembukaan semula sempadan negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi masa dua minggu kepada beliau dan Kementerian Kesihatan (KKM), untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan.

Namun jelasnya ini tidak bermakna sempadan negara akan dibuka dalam masa dua minggu lagi, kerana perkara itu perlu dibincangkan di beberapa peringkat terlebih dahulu.

Katanya garis panduan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri COVID-19 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Sebab ini keputusan besar yang tidak boleh dibuat di peringkat KKM, ini melibatkan polisi besar negara. Saya jangka mungkin suku tahun kedua adalah satu garis masa realistik, tetapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang menentukannya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kurnia, yang menawarkan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40), di sini hari ini.

Berhubung keputusan pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat menangguhkan semakan vaksin COVID-19 Pfizer untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun berikutan regimen dua dosnya tidak berfungsi dengan baik terhadap varian Omicron, Khairy berkata kumpulan kerja teknikal sentiasa memberikan nasihat kepada KKM berkenaan kesesuaian vaksin.

“Kita ada dua proses, satu kelulusan oleh badan kawal selia iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu lagi adalah pandangan kumpulan pakar.

“Kumpulan pakar sedang memperhalusi data untuk vaksin bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun, belum ada apa-apa syor lagi kepada KKM,” katanya.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) dilapor sebagai berkata ia memerlukan lebih banyak data mengenai vaksin itu, sekali gus menangguhkan keputusan untuk menggunakan vaksin berkenaan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun selama sekurang-kurangnya dua bulan.

Mengulas mengenai PeKa B40 yang bermatlamat pengesanan dan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD), Khairy berkata setakat ini inisiatif berkenaan telah berjaya menyaring 561,990 individu daripada kumpulan B40.

“Bagaimanapun, jumlah ini masih rendah berbanding jumlah yang layak iaitu lebih 4.9 juta orang di seluruh negara. Di Johor, 47,448 penerima telah disaring di bawah skim ini dan daripada jumlah itu, 12,950 telah disahkan menghidap NCD.

“Saya ingin menyeru mereka yang layak untuk menjalani saringan kesihatan percuma di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang berdaftar di bawah PeKa B40 di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata fokus utama inisiatif berkenaan adalah pencegahan peringkat awal melalui empat manfaat kesihatan yang ditawarkan iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif pengangkutan.

Menurutnya mengikut Persekutuan Jantung Sedunia, NCD khususnya penyakit pulmonari obstruktif kronik, penyakit jantung, hipertensi dan diabetes merupakan faktor risiko utama yang akan menyebabkan pesakit COVID-19 mengalami simptom yang teruk. – BERNAMA