Pahang Meterai Perjanjian Pelaburan RM5.5 Bilion

KUANTAN, 18 Feb – Kerajaan Pahang hari ini memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5.5 bilion yang membabitkan projek di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin serta pembangunan aplikasi mudah alih berkaitan pelancongan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelaburan itu melibatkan sektor janakuasa, pembangunan aplikasi, pelancongan, penternakan dan pengeluaran yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Pahang.

Beliau berkata perjanjian tersebut melibatkan badan berkanun negeri dengan syarikat pelabur dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.

“Pelaburan ini juga berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang yang merupakan inisiatif, perancangan strategik dan komitmen berterusan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek pelaburan terlibat ialah cadangan pembangunan janakuasa elektrik di Tanjung Agas, Pekan dengan nilai pelaburan RM4.21 bilion di antara TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dengan Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea, Pahang Go Sdn Bhd dan M-Trip Sdn Bhd dari China memeterai perjanjian bagi projek aplikasi mudah alih pelancongan dengan nilai pelaburan RM66 juta.

Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) pula memeterai tiga perjanjian termasuk dengan Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura berhubung projek kilang pengeluaran aloi mangan seluas 40 hektar di Gebeng, Kuantan dengan nilai pelaburan RM1 bilion.

Dua lagi melibatkan projek penternakan di Rompin bersama syarikat Thailand iaitu projek ternakan udang dan ikan berteknologi tinggi seluas 52 hektar bernilai RM105 juta dengan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) serta Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd bagi projek taman akuakultur penternakan udang seluas 64 hektar dengan nilai pelaburan RM40 juta.

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pula memeterai perjanjian dengan IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura bagi projek pelancongan Rompin Eco Tourism Park berkeluasan 93 hektar di sempadan Rompin-Pekan dengan nilai pelaburan RM90 juta.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga komited dalam menyediakan persekitaran kondusif dan kestabilan politik yang meyakinkan untuk menarik minat pelabur mengembangkan perniagaan dan menanam modal di Pahang.

Pada tahun ini, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) pelaburan di Pahang bernilai RM18 billion, mengambil kira kejayaan menarik pelaburan bernilai 10.8 bilion termasuk pelaburan antarabangsa bernilai RM9.8 bilion pada 2021. – BERNAMA