VTL Udara, Darat Brunei-Malaysia Hasil Lawatan Dua Hari PM Ismail Sabri Ke Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) serta pengiktirafan untuk menggunakan MySejahtera dan BruHealth merupakan dua perkara utama yang diputuskan semasa lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Brunei bermula Isnin.

Persetujuan yang dicapai di peringkat dasar hasil pertemuan empat mata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah itu sekali gus melegakan rakyat kedua-dua negara selain dapat merancakkan semula sektor ekonomi.

Pada masa ini terdapat lebih 25,000 rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei Darrussalam terdiri daripada pelbagai peringkat seperti golongan professional, penuntut dan yang bekerja di negara ini, selain penduduk Sarawak, terutama di kawasan sempadan, yang berulang-alik ke Brunei.

Penutupan sempadan negara akibat penularan wabak COVID-19 itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang telah dua tahun tidak pulang ke Malaysia bertemu anggota keluarga.

Menyifatkan kunjungan rasmi pertama beliau ke Brunei sebagai amat berjaya, Ismail Sabri berkata VTL antara kedua-dua negara bukan sahaja melalui penerbangan empat kali seminggu yang dicadangkan tetapi juga melalui jalan darat bagi kemudahan penduduk yang tinggal bersempadan dengan negara itu.

“Alhamdullilah, lawatan rasmi pertama saya selama dua hari ke negara Brunei Darussalam berlangsung dengan baik dan sempurna… kunjungan ini amat berjaya,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar di akhir lawatan beliau sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

Kunjungan Perdana Menteri dan delegasi itu turut berkisar kepada perbincangan berhubung langkah-langkah untuk meningkatkan kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brunei.

“Malaysia dan Brunei mempunyai banyak potensi dalam bidang ini,” katanya sambil memberitahu nilai dagangan pada tahun lepas meningkat 70.4 peratus kepada RM8.03 bilion.

Beliau berkata perdagangan kawasan sempadan juga penting dengan nilai RM832.40 juta pada tahun lepas.

“Di samping penyertaan Petronas dan beberapa syarikat terkemuka Malaysia dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Brunei, saya percaya kerjasama dalam bidang PKS (perusahaan kecil dan sederhana) serta kerjasama Sabah-Brunei dan Sarawak-Brunei berpotensi untuk ditingkatkan,” katanya.

Antara perkara lain yang berjaya diselesaikan hasil kunjungan itu adalah isu persempadanan yang tertangguh dan projek Lebuh Raya Trans-Borneo yang menghubungkan Malaysia (Sarawak dan Sabah) dan Brunei, selain turut membincangkan isu-isu serantau iaitu Myanmar dan Laut China Selatan.

Mengenai persempadanan, kedua-dua pemimpin negara itu sepakat supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan diadakan pada kadar segera untuk memuktamadkan segera kawasan yang yang belum disusun dan ditanda.

Hubungan diplomatik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei amat istimewa dan membuka peluang kerjasama kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang meliputi perdagangan, kesihatan, pertahanan, pelancongan dan pelbagai bidang lain lagi.

Hubungan itu berterusan melalui Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) yang merupakan platform tertinggi, penting bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Pada tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi ALC ke-24 di Kuala Lumpur dan Ismail Sabri mengalu-alukan keberangkatan Sultan Brunei dan delegasi ke Malaysia untuk menghadiri rundingan itu.

Ismail Sabri menyifatkan kesemua persetujuan yang dicapai semasa lawatan singkat beliau ke Brunei mencerminkan komitmen padu antara kedua-dua pihak ke arah peningkatan hubungan ke suatu tahap yang lebih tinggi dan mantap.

“Lawatan saya ini, walaupun singkat, tetapi amat bermakna kepada keakraban hubungan istimewa Malaysia-Brunei Darussalam.” – BERNAMA