PM Tiba Di Brunei Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Brunei Darussalam, dan dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang menaiki pesawat dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini pada 8.30 malam dan disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Puteri Masna.

Ismail Sabri diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu.

Lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Semasa lawatan, Ismail Sabri yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dijadualkan untuk menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman pada Selasa.

Ismail Sabri juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah diikuti dengan Majlis Santapan Rasmi.

Antara yang dijangka untuk dibincangkan ketika lawatan itu ialah Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Brunei, meneroka kerjasama baharu pascaCOVID-19, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi.

Perdana Menteri dan rombongan akan pulang ke Malaysia pada 5.30 petang, Selasa.

Lawatan rasmi Ismail Sabri ke Brunei itu adalah yang pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.