Wakil Belia FELDA Dilantik Jadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kerajaan bersetuju untuk melantik wakil belia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketetapan itu dibuat sebagai mengiktiraf peranan belia Felda dan sama-sama membantu serta membangunkan tanah rancangan berkenaan.

“Bagi mengiktiraf peranan belia Felda, saya bersetuju, saya telah maklumkan kepada Tok Yeh (Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh) supaya melantik wakil belia Felda di dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda (KAF) dan Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) di Menara Felda di sini, malam tadi.

Selain Idris, hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan RM300,000 kepada Majlis Belia Felda Malaysia, RM200,000 untuk KAF dan RM100,000 lagi kepada PERSADA.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri mengumumkan tempoh jawatan Idris yang akan tamat pada 30 April ini disambung dua tahun lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata ketika ini hanya 440,000 daripada 2.1 juta generasi baharu Felda tinggal di 317 tanah rancangan itu di seluruh negara dan kira-kira 1.6 juta telah berhijrah.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan Felda terpaksa menggunakan tenaga asing bagi menguruskan ladang-ladang kelapa sawit dan getah, malah terdapat rumah peneroka ditinggalkan tanpa penghuni kerana waris tidak berminat untuk meneruskan legasi tersebut.

Katanya generasi baharu khususnya golongan belia adalah penyambung warisan kepada peneroka awal bagi memastikan tanah rancangan tidak kosong.

“Kerajaan menyedari perkara ini. Saya sentiasa mendengar dua perkara utama yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan Felda iaitu perumahan dan peluang pekerjaan di kawasan Felda,” kata Perdana Menteri.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata isu perumahan Felda bukan hanya melibatkan soal tanah, tetapi juga aspek pembiayaan oleh generasi kedua untuk memiliki rumah antaranya disebabkan ketiadaan slip gaji.

“Sebab itulah kerajaan memperkenalkan konsep baharu iaitu generasi kedua boleh bina rumah sendiri di lot-lot yang ada, murah dan boleh dimiliki untuk memastikan belia-belia, generasi muda di rancangan tanah itu mempunyai rumah sendiri, kalau tidak sampai bila mereka tinggal di rumah ibu bapa,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara beliau telah memberi arahan arahan kepada Gabenor Bank Negara supaya mempermudahkan pinjaman perumahan kepada generasi kedua Felda.

“Saya telah mengumumkan baru-baru ini ‘Satu Keluarga Satu Rumah’, tetapi kerana birokrasi yang ketat untuk pinjaman, hasrat kerajaan tidak akan berjaya kerana karenah birokrasi bank,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut berharap pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat dipercepatkan kerana projek itu akan menjana pendapatan tambahan peneroka selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga Felda.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyediakan dasar yang jelas bagi membina modal insan dan juga bakat masa depan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan penekanan diberikan kepada penggunaan digital dan teknologi tinggi.

Menurut Ismail Sabri golongan belia perlu dipersiapkan dengan peribadi yang mantap dari segi rohani dan jasmani kerana mereka menentukan masa depan negara selain merupakan aset negara.

“Saya berharap MBFM (Majlis Belia Felda Malaysia), KAF dan PERSADA memberikan contoh terbaik kepada golongan belia bukan sahaja di Felda tetapi seluruh negara. Jadikan platform ini untuk mengasah bakat kepemimpinan kerana anda semua adalah pemimpin masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap golongan belia menggunakan platform berkenaan untuk menjadi rakan pembina negara serta mampu berperanan sebagai pertubuhan belia yang memiliki model kemandiriannya sendiri seperti yang terdapat dalam Dasar Belia Malaysia, selain mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.