Melaka Salur Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Berjumlah RM420,600

MELAKA, 11 Feb – Kerajaan negeri Melaka melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) hari ini menyalurkan bantuan persekolahan sekolah rendah berjumlah RM420,600 melibatkan 2,103 murid di 241 sekolah di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata daripada jumlah itu RM96,200 disalurkan kepada 481 murid di sekolah rendah di bawah Parlimen Alor Gajah, Parlimen Jasin (RM86,000 melibatkan 430 murid), Parlimen Masjid Tanah (RM70,800 melibatkan 354 murid), Parlimen Kota Melaka (RM67,400 melibatkan 337 murid), Parlimen Tangga Batu (RM54,600 melibatkan 273 murid) dan Parlimen Hang Tuah Jaya (RM45,600 melibatkan 228 murid).

“Setiap pelajar akan mendapat RM200 seorang, meningkat RM50 berbanding RM150 sebelum ini dan bantuan ini bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak mereka memulakan sesi persekolahan 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademik 2022 dan pelancran Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Bersama Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin dan Pengurus Besar Tapem Datuk Mustafa Musa.

Sulaiman berkata bantuan berkenaan selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk menyuntik semangat dan motivasi murid agar mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan sahsiah diri, selain membuktikan komitmen kerajaan dalam aspek pendidikan negeri.

Beliau berkata menerusi Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Bersama Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pula, 11,355 pelajar daripada 84 sekolah bantuan penuh kerajaan negeri dan sekolah tahfiz berdaftar kerajaan negeri akan diberi sesi motivasi dan ‘pecutan akhir’ sebelum mereka menduduki peperiksaan berkenaan.

“Program ini akan berlangsung selama empat hari bermula Isnin ini (14 Feb) dan ia melibatkan tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik,” katanya.

Selain itu katanya semua calon SPM terlibat akan menerima RM50 setiap seorang sebagai suntikan semangat kepada mereka dan pemberian itu akan diagihkan secara berperingkat dalam masa terdekat menerusi pihak sekolah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.