KRC Bakal Tarik Pelaburan RM10 Bilion Menjelang 2025 – PM

KUALA NERANG, 7 Feb – Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025 yang akan memberi pelbagai limpahan manfaat kepada masyarakat setempat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun baharu dilancarkan, projek strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

“Sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 billion untuk KRC.

“Kerjasama ini juga akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer nitril butadiena lateks (NBL) dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL,” katanya semasa berucap melancarkan Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City di sini hari ini.

Beliau berkata pelancaran projek KRC yang merupakan antara projek strategik nasional di NCER ini tepat pada masanya ketika negara sedang dalam menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi setelah terkesan oleh impak pandemik COVID-19.

Katanya, KRC juga merupakan salah satu daripada pelbagai projek “game changer” yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri yang maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“KRC dibangunkan dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai peneraju pembangunan industri getah negara serta hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global.

“Kewujudannya mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Kedah, yang akan dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi,” katanya.

Menurut perdana menteri, berdasarkan lokasi KRC yang strategik di kawasan “Rubber Belt” sempadan Malaysia-Thailand, projek itu juga akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta dijangka menjadi penggerak dalam menghubungkan pengeluar-pengeluar getah utama di rantau ini di bawah platfom Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Katanya, KRC juga akan menjadi pusat inovasi produk getah yang boleh membantu aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pembangunan keseluruhan KRC meliputi kawasan seluas 503 hektar yang merangkumi 200 hektar untuk Fasa 1 dan 302 hektar untuk Fasa 2.

Jelasnya, kerja-kerja fizikal pembangunan projek KRC oleh pihak NCIA berjalan lancar seperti yang dijadualkan, dengan Fasa 1 projek KRC telah pun siap dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.

“Sehubungan itu, saya berharap agar pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang ini untuk menempatkan operasi mereka di KRC.

“Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk Fasa 1 projek KRC. Berdasarkan kemajuan yang memberangsangkan di bawah Fasa 1, Fasa 2 projek KRC akan dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya.

Pada majlis itu Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian, surat niat dan memorandum persefahaman (MoU) antara NCIA dengan rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.

Pelancaran KRC hari ini turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.