Selangor Diminta Bekerjasama Dengan Kerajaan Persekutuan Kenal Pasti Punca Banjir

KUALA SELANGOR, 6 Feb – Kerajaan Negeri Selangor perlu membuat kajian bersama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengenal pasti punca banjir di negeri itu pada akhir tahun lepas, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata kajian itu juga harus mengenal pasti punca bencana sama ada daripada limpahan air sungai atau longkang yang tersumbat.

“Pihak berkuasa tempatan juga harus melihat perancangan membangunkan Selangor sama ada tempat yang dibangunkan itu bersesuaian bersama dengan pihak yang memberikan kelulusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menghadiri majlis serahan bantuan berupa periuk nasi, dapur gas dan beg makanan asas kepada 500 mangsa banjir di Dewan Kampung Bestari Jaya, Kampung Bestari Jaya di sini hari ini.

Program anjuran bersama Yayasan Prihatin Nasional dan DXN Holdings Berhad itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Tan Sri Dr Daud Bakar dan Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Datuk Abdul Malik Abdullah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.