Perak Bentuk Jawatankuasa Khas Tangani Masalah Sahabat AIM

IPOH, 5 Feb – Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi menangani isu melibatkan masalah dihadapi peminjam skim pembiayaan atau sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata mesyuarat jawatankuasa itu, akan diadakan pada 17 Feb ini bagi membantu penyelesaian masalah yang dibangkitkan.

“Kita juga akan memanggil ketua-ketua jabatan yang berkaitan, untuk mengadakan perbincangan bagi menjawab semua isu yang dipersoalkan.

“Isu berkaitan (penggunaan) dewan orang ramai, kita akan panggil Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kemudian berkaitan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), kita akan panggil setiausaha PBT,” katanya selepas menghadiri Program Bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata semua agensi terlibat, perlu dipanggil supaya dasar yang dilaksanakan nanti dapat diselaraskan di seluruh negeri dengan sama rata.

Bagaimanapun Saarani berkata terdapat isu yang dibangkitkan bukan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, seperti kenaikan harga barangan.

Katanya perbincangan bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan diadakan, bagi menyelesaikan aduan berhubung kenaikan harga barang.

Pada program itu, beberapa Sahabat AIM meluahkan masalah yang dihadapi mereka terutama akibat pandemik COVID-19, pada sesi dialog bersama Saarani selama kira-kira dua jam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.