GRS Perlu Hargai Kepercayaan Rakyat, Bersungguh-sungguh Bangunkan Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 5 Feb – Kepercayaan yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menerajui kerajaan negeri perlu dihargai dengan wakil rakyatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata justeru, semua wakil rakyat GRS perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi memenuhi aspirasi rakyat itu.

Beliau berkata langkah itu juga amat penting bagi mewujudkan kerajaan stabil yang berupaya mendepani krisis politik, kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Rakyat meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini, justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan bekerja memajukan Sabah serta melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata pendekatan baharu bagi memenuhi aspirasi rakyat juga perlu dilakukan dengan meninggalkan amalan lama seperti hanya mengumumkan projek dan peruntukan namun kurang komitmen untuk melaksanakannya.

“Rakyat ketika ini begitu matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan dan wakil rakyat, mereka tidak lagi terbuai dengan pengumuman berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan, apa yang mereka harapkan ialah umum dan segerakan pelaksanaannya” kata beliau.

Menteri Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Lamag itu turut mengakui Sabah masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan insfrastruktur, kesihatan serta pendidikan dan isu tersebut perlu diberi perhatian oleh kerajaan pusat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.