Pengambilan Tembakau Antara Faktor Sebabkan Kematian Akibat Kanser – Khairy

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Pengambilan tembakau adalah antara faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital swasta dan kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kanser menyumbang kepada 34.95 peratus penyebab kematian di hospital swasta dan penyebab kematian keempat tertinggi di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Beliau berkata kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke wad di hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

“KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016, berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus), manakala dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus), diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan dan pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

Sehubungan itu, Khairy menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri dalam kehidupan harian. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.