Tiada Keperluan Adakan PRK Parlimen Gerik – Saarani

IPOH, 3 Feb – UMNO Perak tidak membuat permohonan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian, kata Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata ia juga mengambil kira tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang semakin hampir apabila tempoh lima tahun akan tamat pada Mei 2023, justeru kerusi bagi Parlimen itu akan dikosongkan sehingga PRU akan datang.

“Sekarang sudah masuk Februari, kalau hendak bubar bermakna Mei ini kita akan membuat pilihan raya dan setahun selepas itu atau mungkin lebih awal kalau perdana menteri membubarkan Dewan Rakyat, tiada maknalah…jadi bagi saya biarlah ia kosong sehingga dibubarkan Parlimen,” katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mengadakan sebarang perbincangan bersama mana-mana pihak untuk mengadakan pilihan raya berkenaan.

Kerusi Parlimen Gerik kosong berikutan kematian Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 Nov 2020. Beliau memenangi kerusi berkenaan pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah turut kosong setelah Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada 17 Nov 2020.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan serentak pada 16 Jan 2021, bagaimanapun ia ditangguhkan susulan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat pada Dis 2020.

Pada 24 Jan lepas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata pihaknya sudah memohon kepada SPR untuk mengadakan PRK DUN Bugaya dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh terdekat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.