Perjuangkan Silat Olahraga Dipertandingkan Di Olimpik – Sharkar

TEMERLOH, 1 Feb – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) perlu mengorak langkah memperjuangkan silat olahraga dipertandingkan di peringkat sukan Olimpik akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, silat olahraga setanding karate, judo dan taekwando yang terlebih dahulu dipertandingan dalam sukan olahraga di kejohanan berprestij dunia itu.

Beliau berkata, sebelum ini sukan badminton berjaya diperjuangkan Malaysia supaya dimasukkan dalam sukan Olimpik sekali gus memberi peluang atlet negara memenangi pingat.

“Silat sebenarnya telah dikenali di peringkat antarabangsa apabila seni pertahanan itu diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan, dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) milik negara ini.

“Atlet silat Mohd. Al Jufferi Jamari dikenali sebagai juara silat dunia beberapa kejohanan antarabangsa. Oleh itu, silat olahraga mempunyai integriti, kekuatan dan keistimewaan yang diperlukan untuk dipertandingkan di peringkat sukan Olimpik,” katanya ketika berucap merasmikan Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan 2021 di Dewan One Touch Futsal Lurah Semantan di sini.

Kejohanan itu anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia ( PSCHM).

Seramai 700 penyertaan daripada 67 perguruan silat di negara ini bertanding dalam kejohanan selama tiga hari sehingga Rabu ini tersebut.

Mohd. Sharkar berkata, Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan 2021 merupakan pentas terbaik kepada pesilat muda mempertajamkan teknik dan kemahiran untuk ke pertandingan lebih besar seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan beliau mencadangkan Persatuan Silat Negeri Pahang mendokumentasikan semua aliran silat khususnya di negeri ini.

Ini katanya, ada beberapa aliran silat yang popular negeri ini hilang jejak dan pupus berikutan guru utamanya meninggal dunia dan tiada usaha meneruskan legasinya.

Menurutnya, buku yang ditulis dengan ilustrasi yang menarik boleh diterbitkan di bawah Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah.- Utusan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.