Tiga Pusat Internet Desa Di Pahang Selesai Dinaik Taraf Kepada PEDi Suku Pertama Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Tiga Pusat Internet Desa (PID) di Pahang akan selesai dinaik taraf kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi ciapan di akaun Twitter hari ini, Annuar berkata tiga PID terlibat adalah di Bukit Goh, Kuantan; Sungai Koyan, Lipis dan Felda Bukit Selancar 1, Rompin.

Beliau berkata setiap PEDi akan memberi latihan dan bimbingan berkaitan ekonomi digital bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Saya berharap kawasan-kawasan yang sudah mempunyai PEDi akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sekitarnya,” katanya.

Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap pusat itu mempunyai panel penasihat tersendiri dianggotai wakil komuniti setempat untuk memberi saranan atau cadangan yang bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kewujudan PEDi dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.