Guru, Kakitangan Kemas Boleh Berpolitik Tapi Jangan Sampai Abai Tugas Hakiki

IPOH, 28 Jan – Guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) boleh berpolitik tetapi mereka dinasihat agar tidak mengabaikan tugas hakiki, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata petugas Kemas juga seperti rakyat biasa yang lain dan mereka bebas berkecimpung dalam bidang politik.

“Saya rasa itulah maksud Perdana Menteri. Sudah pasti kalau seorang guru sekolah berpolitik, jangan sampai tinggal bilik darjah.

“Sama juga macam petugas Kemas, jangan sampai abai tugas hakiki,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Kakitangan Kemas Negeri Perak di Bangunan Persekutuan Greentown semalam.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah dan petugas Kemas di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata pihaknya bimbang jika kebenaran itu disalah guna atau disalah erti oleh pihak tertentu sehingga menjadikan penjawat awam sebagai alat politik, diugut dan sebagainya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.