PRN Johor: Kalau Lambang Pun Tidak Sepakat, Pasti Tidak Stabil Memimpin – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah membidas Pakatan Harapan (PH) yang tiada kesepakatan apabila PKR menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sementara Dap dan PAN) menggunakan logo PH.

Tegasnya, soal lambang pun tiada kesepakatan bagaimana mahu bersepakat dalam hal lain?

“Kalau lambang pun tidak sepakat pasti tidak stabil memimpin. Keadaan ini jelas bakal mengulangi sejarah PH memerintah dahulu. Lantas sekali lagi ketidakstabilan dan kecelaruan akan berlaku.

“Dan akibatnya rakyat Johor sekali lagi menerima kesannya. Justeru PKR, Dap, PAN dan parti lain termasuk MUDA mesti ditolak.

“Kita mahu kestabilan demi kemakmuran rakyat dan Negeri Johor. UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah pilihannya,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Terdahulu Majlis Presiden PH yang bermesyuarat semalam bersetuju untuk Dap dan PAN menggunakan logo PH sementara PKR menggunakan logonya sendiri.

Sabtu lepas (22 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata BN memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat, memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan “ihsan pembangkang”. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.