Rakyat Selangor Makin Muak Ditadbir PH, Cukup Hanya Tiga Penggal – Azhari

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan rakyat di Selangor semakin muak dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu yang disifatkan sebagai gagal.

Katanya ini kerana, meskipun sudah memimpin selama tiga penggal namun PH tidak berjaya memenuhi keperluan rakyat dengan sebaiknya termasuk gagal menangani isu air yang saban tahun menghadapi gangguan bekalan.

“Banyak isu yang dihadapi rakyat antaranya masalah air yang tidak pernah selesai baru-baru ini pula banjir… memang dilihat pengundi mempertikaikan tentang cara mereka kendalikan perkara ini.

“Pembangunan infrastruktur juga diabaikan yang dari dahulu sehingga hari ini masih lagi tidak ada perubahan maka saya yakin bahawa Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) PH tidak akan dapat mempertahankan negeri ini.

“Setelah tiga penggal rakyat Selangor memberi mandat kepada PH saya yakin dan percaya pada kali ini rakyat rasa muak dengan cara pentadbiran gagal,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas Azhari lagi, beliau juga melihat sentimen perubahan dalam kalangan rakyat yang semakin mempercayai UMNO/ Barisan Nasional (BN) yang selama ini komited memperjuangkan nasib mereka.

“Saya yakin dan percaya menegaskan bahawa rakyat hari ini sudah celik pandai dan tidak akan membuat kesilapan pada pilihan raya nanti.

“Pengundi di sini tidak akanlagi sesekali memberi ruang dan peluang kepada PH untuk memerintah negeri ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.