PRN Johor: UMNO Sasar Tanding 42 Kerusi – Mohamad

KUALA LUMPUR, 24 Jan – UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Minimum UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengenai kerjasama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN itu, beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO.

Bagaimanapun, katanya UMNO Johor lebih cenderung untuk parti itu bergerak sendiri bersama Barisan Nasional (BN).

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan Pengerusi BN negeri lebih cenderung untuk berseorangan, jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan diputuskan di Mesyuarat Khas MT,” katanya.

Pada 22 Jan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Semalam, dilaporkan BN Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN itu nanti.

Ditanya sama ada kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjejaskan peluang parti itu untuk memenangi PRN Johor, Mohamad berkata beliau yakin ia tidak akan menjadi faktor utama kepada keputusan para pengundi.

“Kami mengharapkan yang terbaik, apa yang kami lakukan adalah demi kebaikan parti dan negara,” katanya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Mengenai pelaksanaan Undi18, Mohamad berkata parti itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pada PRN itu. – BERNAMA