Kerajaan Peruntuk Hampir RM60 Juta Untuk Pembinaan Dua Jambatan Di Kelantan

GUA MUSANG, 24 Jan – Kerajaan memperuntukkan hampir RM60 juta untuk pembinaan dua jambatan kekal konkrit di Kampung Pemberian, Kuala Krai dan Kampung Bertam Baru, di sini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia jelas membuktikan komitmen kerajaan membantu masyarakat luar bandar untuk memudahkan urusan penduduk setempat melakukan aktiviti harian.

“Perbelanjaan bagi setiap jambatan itu masing-masing hampir 30 juta iaitu jambatan sepanjang 240 meter di Kampung Pemberian mula dibuka kepada pengguna sejak Oktober tahun 2020.

“Jambatan di Kampung Bertam Baru pula dijangka siap dalam tempoh terdekat untuk memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan perkampungan berkenaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baru Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Tahun 2022 di Ibu Pejabat Kesedar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata selain dapat memendekkan masa perjalanan, jambatan itu juga akan menjadi pemangkin ekonomi terutamanya kepada penduduk di sekeliling kampung berkenaan.

“Jambatan di Kampung Pemberian ini menghubungkan penduduk dari Kampung Pemberian dengan kampung lain iaitu Kampung Sungai Chepa dan Kampung Ragu untuk ke laluan utama Kuala Krai-Gua Musang melalui Kampung Manjor.

“Jambatan di Kampung Bertam Baru pula akan memberi faedah kepada penduduk di Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Sungai Asap, Renok Baru yang ingin ke daerah Jeli,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.