UMNO Kelantan Pernah Suara Hasrat Di Mesyuarat MT

BERA, 23 Jan – UMNO Kelantan pernah menyuarakan hasrat mahu memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ketika itu, kepimpinan parti menyerahkan kepada kebijaksanaan UMNO Kelantan untuk menentukan masa depan parti di negeri itu.

“Selagi keputusan tidak merugikan UMNO dan itu yang dirasakan terbaik untuk kekuatan UMNO di Kelantan, kita kata ‘go ahead’ (teruskan).

“Setiap negeri mempunyai pandangan berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Padangan di Pahang mungkin berbeza di Kelantan atau di Terengganu yang berlainan daripada Selangor.

“Ada yang mahu bekerjasama dan ada yang tidak, dan ada juga yang masih hendak berbincang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semalam, bahawa mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.

Ditanya jika keputusan itu berkaitan dengan pertemuannya bersama UMNO Kelantan semalam, Ismail Sabri menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan dirinya kerana ia adalah pertemuan dengan kepimpinan parti daripada semua bahagian di negeri itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.