Jumlah Pengundi Di Johor Bertambah 28 Peratus Kepada Kira-Kira 2.5 Juta

JOHOR BAHRU, 23 Jan – Jumlah pengundi di negeri ini mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti politik bertanding.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pertambahan itu berikutan pendaftaran pengundi (Undi18) diwartakan secara automatik menjadikan jumlah pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata dengan peningkatan itu, berlakunya pertambahan antara 20 hingga 30 peratus di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Kita sedia maklum mengenai perkara ini, malah sudah bersedia untuk menghadapinya sebagai cabaran dalam kancah politik, bahkan semua Ahli Parlimen sudah diberikan taklimat mengenai jumlah pengundi yang diwartakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program permukiman dan gerak gempur jentera Kongres Islam Muslim Malaysia (KIMMA) di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Sementara itu merujuk soal calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor, Ahli Parlimen Pontian itu berkata Umno Johor akan mengikut kriteria ‘WALI’ yang ditetapkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada PRN Melaka sebelum ini; yakni calon yang boleh menang (winnable), boleh diterima (acceptable), dan disukai (likeable).

Ketika ditanya mengenai permintaan akar umbi UMNO terutama sayap Pemuda yang mahukan supaya lebih banyak calon muda ditampilkan pada PRN Johor, Ahmad berkata perkara itu akan diputuskan pimpinan tertinggi parti bersama pimpinan negeri.

“Namun seperti PRN Melaka, calon yang dikemukakan UMNO dan BN mempunyai kombinasi mereka yang berpengalaman serta muka baharu di kalangan orang muda. Tentunya akan ada kombinasi sama pada PRN Johor nanti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.