UMNO Johor Adakan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor berlangsung petang ini di Bangunan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, di sini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan 26 Ketua UMNO Bahagian antaranya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Samsolbari Jamali (Ayer Hitam); dan Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar); selain veteran UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Pada masa ini, kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu); manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam). – BERNAMA