Bubar DUN, UMNO Hormati Sebarang Keputusan Sultan Johor – Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Jan – UMNO menghormati sebarang keputusan yang bakal diputuskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan kedudukan kerajaan negeri sama ada berlaku pembubaran atau sebaliknya, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, parti tidak boleh mendahului kerana ketetapan hanya akan dilakukan Sultan Ibrahim mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan baginda berdasarkan Perlembagaan negeri.

“Pada hemat saya kita tidak boleh mendahului kuasa yang dipegang melalui Perlembagaan sesebuah negeri, maka dalam konteks ini Sultan Ibrahim mempunyai titah perkenan muktamad sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan nasihat ketua eksekutif negeri itu iaitu Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk memberi nasihat kepada duli tuanku bagi pembubaran itu boleh dilakukan atau tidak.

“Namun sebagai sebuah parti yang menjadi peranan utama bagi negeri ini apa sahaja keputusan dan perkenan daripada Tuanku kita akan ikuti dan proses politik sebagai mana yang digaris pandu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jawab, Saya Tanya!: Eksklusif Bersama Presiden UMNO – Barisan Nasional Memimpin Kestabilan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook NR Channel TV, malam tadi.

Mengulas lanjut berkenaan pilihan raya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menafikan ianya sebahagian daripada strategi parti untuk menguasai kembali negeri yang merupakan kubu kuat UMNO menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang terjadi di Melaka pada November lalu.

“Kita tidak bermaksud menyusahkan rakyat walaupun mandat baharu harus diperolehi namun situasi di Melaka tidak boleh dielakkan oleh kerana berlaku perselingkuhan politik.

“Di Johor kedudukan kerajaan sekarang mempunyai 28 kerusi berbanding dengan 27 kerusi oleh pihak pembangkang ertinya BN hanya memiliki satu kerusi sahaja. Tentunya menteri besar mempunyai pertimbangan sendiri dan mereka secara rasmi akan melakukan perbincangan dengan BN Johor dan Perhubungan UMNO, mereka telah melontarkan sains dan data kepada Biro Politik UMNO.

“Saya juga teleh menjemput menteri besar untuk memberikan penjelasan kepada Majlis Kerja Tertinggi maka kita mendengar dengan teliti biarpun begitu keputusan mutakhir tertakluk kepada perkenan Sultan Johor,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.