Bubar DUN Kerana Perlu Mandat Baharu Untuk Kemajuan Dan Rancakkan Pembangunan Negeri

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diperlukan bagi mendapat mandat baharu daripada rakyat Johor untuk menjadikannya sebuah negeri yang maju dan rancak dengan pembangunan.

Beliau berkata kerajaan yang kuat akan dapat membantu negeri dan rakyat Johor menjadi lebih maju berdasarkan kedudukan strategik dan potensi negeri ini.

“Jadi untuk jadi negeri yang maju dan rancak pembangunannya, untuk itu, saya perlu fresh mandate (mandat baharu) daripada rakyat Johor. Kerajaan yang kuat akan dapat membantu negeri dan rakyat Johor lebih maju berdasarkan (kedudukan) strategik dan potensi negeri Johor.

Perkara (program-program kepentingan rakyat) ini perlu diteruskan tetapi memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan sebagai bergerak atas ‘ehsan pembangkang’ saya fikir tidak wajar sama sekali berlaku di negeri ini,” kata beliau kepada pemberita di Bangunan UMNO Johor di sini hari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.