Maszlee Buat Tuduhan Tanpa Bukti, Sepatutnya Bimbang Tak Tunai Janji Hapus Tol Simpang Renggam

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Membuat tuduhan tanpa bukti dan datang pula dari seorang bekas ilmuan seperti Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik hanya menjatuhkan imej yang beliau sering cuba gambarkan sendiri di media sosial, bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang Mohd Farid Mohd Nor.

Katanya, adalah lebih baik Maszlee bimbangkan janjinya sendiri untuk menghapuskan tol di Simpang Renggam yang langsung tidak diusahakannya ketika berkuasa selama 22 bulan.

Mohd Farid memberi reaksi demikian berhubung kenyataan Ahli Parlimen PKR itu yang asal dari PPBM dan kemudian Pejuang di dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan ketiadaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika banjir melanda di negeri itu dan sebaliknya memuji Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang baginya turun menyelamatkan mangsa banjir.

Jelas Mohd Farid, sejak pagi di hari pertama kejadian banjir melanda, Wan Rosdy telah berada di lapangan bermula di kawasan beliau sendiri di Jelai, kemudian ke Raub, Kuantan dan Bentong.

“Keduanya, seorang Menteri Besar harus mengurus dan memantau operasi menyelamat ini secara keseluruhan, beliau juga menerima laporan-laporan dari lokasi bencana secara terus bukan sahaja dari agensi tetapi pimpinan masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki hubungan komunikasi secara terus dengan beliau.

“Laporan ini yang membolehkan seorang ketua eksekutif menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk menyelesai masalah dan memperbaiki kelemahan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Mohd Farid lagi berdasarkan pengalamannya secara peribadi, melalui komunikasi secara terus di Karak dengan Menteri Besar, masalah bekalan elektrik yang terputus di sebuah taman perumahan dapat dipulih dalam tempoh satu jam selepas diadukan perkara tersebut kepada Wan Rosdy.

Seterusnya tambah Mohd Farid, begitu juga apabila beliau mencadangkan kepada Menteri Besar untuk turun ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam Daerah Bentong secepat mungkin agar beberapa isu yang timbul dapat diselesaikan, Menteri Besar bertindak segera pada keesokan paginya setelah dimaklumkan pada waktu malam sebelumnya.

Kerana itu katanya, secara keseluruhan dapat melihat, sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis itu dikoordinasi oleh pembangkang untuk menyerang Negeri Pahang.

“Seawal di luar Parlimen pun, individu-individu yang menggunakan nama NGO (badan bukan kerajaan) tetapi memakai baju PKR hanya bercakap tentang isu banjir di Pahang.

“Institusi istana dan kerajaan negeri di serang habis-habisan. Mereka nampaknya berjaya melindungi kelemahan pengurusan banjir yang berlaku di negeri di bawah pentadbiran mereka sendiri,” bidasnya lagi.

Ujar Mohd Farid lagi, semua pihak tidak menolak kelemahan yang berlaku dan kerana itulah Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir telah diadakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.