KPLB Peruntuk Lebih RM60 Juta Baik Pulih JPD, PAMS Di Negeri Terjejas Banjir

PORT DICKSON, 21 Jan – Lebih RM60 juta diperuntukkan bagi kerja membaik pulih jalan perhubungan desa (JPD) serta program ameniti sosial (PAMS) di negeri terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM37.2 juta digunakan membaiki jalan-jalan kampung manakala RM35 juta untuk PAMS iaitu melibatkan kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Labuan, Sarawak, Johor termasuk JPD dan PAMS Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Setakat 9 Jan lepas, sebanyak 356 permohonan JPD diterima bagi kerja bina baharu, naik taraf serta membaik pulih kemudahan dan infrastruktur manakala 394 permohonan PAMS iaitu termasuk kawasan perkampungan orang asli yang dilanda banjir baru-baru ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BPBKA) kepada mangsa banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Parlimen Port Dickson di Majestic Hall, Port Dickson hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata berkenaan kerja membaik pulih rumah serta pembinaan rumah baharu di bawah KPLB, kontraktor yang dilantik perlu menyiapkan kerja pembinaan dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Sebelum ini media melaporkan KPLB menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membaik pulih rumah dan kemudahan yang terjejas banjir di kawasan-kawasan luar bandar di lapan negeri.

Terdahulu, Mahdzir menyampaikan bantuan RM2,500 kepada 300 mangsa banjir di kawasan tersebut menerima bantuan BPBKA dibawah kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, secara keseluruhan kerajaan Persekutuan menerusi BPBKA memperuntukkan RM15.1 juta manakala RM4.63 juta melalui Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 untuk mangsa banjir di negeri ini. – BERNAMA