Gagal Mentadbir… Tiada Sebab Rakyat Selangor Kena Pilih PH Lagi – Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berpandangan tiada sebab untuk rakyat di Selangor kekal memilih Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang berdasarkan kegagalan berterusan yang dilakukan mereka dalam mentadbir negeri ini.

Katanya ini kerana, isu berkaitan kebajikan rakyat seringkali tidak dipedulikan termasuk berkenaan bekalan air, penularan COVID-19 dan juga bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Tiada sebab untuk memilih PH yang telah terbukti memang gagal. Rakyat memang dah merasa dan menilai… kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ini memerintah bukan untuk rakyat tapi hanya melakukan untuk kepentingan mereka sahaja.

“Kalau tengok dari segi tindakan untuk menangani COVID-19 masa yang mula-mula dahulu pun tidak mengikut daripada kerajaan Pusat tapi tubuh jawatankuasa sendiri… akhirnya gagal.

“Berkaitan dengan banjir pun sama memang PH Selangor ini ada jawatankuasa tapi tidak berhasil untuk menangani bencana ini di peringkat daerah dan negeri sebaliknya membuat blame game kepada kerajaan Persekutuan walhal itu adalah kesalahan dan kelemahan daripada kerajaan negeri sendiri, begitu juga dengan isu bekalan air,” ujar beliau ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata meskipun umno bergerak sebagai pembangkang di negeri ini namun ianya tidak mematahkan semangat pemimpin serta ahli akar umbi parti keramat ini untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Apabila berlaku COVID-19 dan banjir UMNO yang lebih kehadapan mendepani masyarakat dalam keadaan susah dan tertekan. Rakyat boleh membuat perhitungan siapa yang layak memerintah negeri ini dalam memberi bantuan dan kebajikan.

“Sudah semestinya daripada parti kita sendiri yang selalu bersama apabila kesusahan yang menimpa rakyat seperti bencana, penularan wabak dan sebagainya.

“Kalau kita tengok di Selangor masa banjir baru-baru ini, UMNO turun secara konsisten waima membantu misi menyelamat, pascabanjir, memberi sumbangan kepada rakyat yang terkesan dengan banjir,” ujar beliau lagi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.