UMNO Sentiasa Pelbagaikan Pendekatan Gerak Kerja, Santuni Kelompok Anak Muda – Shahril

Bangi, 20 Jan – Kepelbagaian pendekatan dalam menyantuni masyarakat termasuklah golongan mahasiswa antara penekanan yang diutamakan agar setiap langkah yang diatur tidak terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Ketua Penerangan UMNO merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata perlawanan bola sepak bersama mahasiswa antara salah satu pendekatan selain beberapa langkah lain dalam usaha menyantuni golongan tersebut.

“Malam tadi, alhamdulillah selesai bermain bolasepak di MK Felda Arena, Bangi bersama dengan mahasiswa dari beberapa universiti di sekitar Lembah Klang.

“Acara sukan ini adalah program pertama pada tahun 2022 dan saya nampak sambutannya cukup hebat. Ianya lebih kepada aktiviti mahasiswa dan kita menyantuni mereka.

“Saya kira ini adalah kaedah dan pendekatan yang sesuai. Adakalanya kita mengurus atau mengelolakan program dan adakalanya ‘join’ apa yang sudah sedia ada ataupun kerap dilaksanakan.

“Saya fikir kedua-dua kaedah ini perlu dilaksanakan dalam cara kita mendekati golongan muda apatah lagi dengan pengundi 18 tahun dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu beliau bersama pasukan pilihan Naib Ketua Pemuda UMNO mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan bersama mahasiswa di sekitar Lembah Klang, di sini, malam tadi.

Tambah Shahril lagi, program sukan adalah salah satu medium dan ianya akan dipelbagaikan termasuklah program berkisar ilmiah, riadah, sukarelawan dan sebagainya.

“Kita kena menyantuni setiap segmen dan setiap kelompok dan kadang-kadang kena masuk ke program ‘third party”,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.