PM Ismail Sabri Jelaskan Kekangan Operasi Pemindahan Banjir Di Selangor 18 Dis Lalu

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Walaupun pasukan penyelamat yang terlibat operasi pengurusan banjir telah menggerakkan aset dalam kejadian di Selangor 18 Dis lalu, namun beberapa kekangan telah menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk kesukaran bot-bot penyelamat untuk bergerak di dalam kawasan banjir, kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

“…bermula pada petang Sabtu, 18 Dis 2021, PDRM (Polis Di Raja Malaysia) JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam) sebenarnya telahpun menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa.

“Namun demikian, kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan, sehingga ada keadaan aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerangkan situasi bencana banjir pertengahan Dis 2021 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata suasana yang semakin gelap, dan terdapat ramai mangsa yang masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu juga menyumbang kepada kelewatan operasi pemindahan.

“Mahu menyelamatkan harta benda, jarak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19 di PPS, menjadi antara alasan penduduk enggan untuk berpindah,” katanya.

Beliau berkata kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti, kerana sudah ditenggelami air.

“Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran, kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu,” katanya.

Selain daripada itu beliau berkata sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air, justeru PPS ad hoc diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

“Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.