Banjir: Tak Perlu Ungkit Mengungkit Tuding Jari Dalam Parlimen, Rakyat Menilai – Azeez

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ahli Parlimen Baling merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menekankan bahawa Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir yang diadakan di Parlimen adalah untuk bagaimana bergerak ke hadapan dan bukannya menuding jari.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia berkata demikian ketika mencelah dalam sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Saya minta apabila kita dengar PM (perdana menteri) telah menyebutkan satu jam lebih menjelaskan berkaitan banjir jadi kita janganlah tuduh-menuduh. Rakyat sedang menilai kita.

“Kalau nak cerita bab bantuan, saya bukanlah nak ungkit, nak takbur, nak riak tapi pada malam pertama (banjir) saya berada di Kota Raja, pada malam kedua saya berada dalam kawasan taman mangsa banjir yang duduk di atas bumbung.

“Saya maklumkan pada Shah Alam (Ahli Parlimen), pada Hulu Langat. Hulu Langat berada di luar negara ‘text’ saya tolong sahabat hantar water jet… bantu dan saya pergi bantu,” tegasnya.

Bidas beliau lagi, sekiranya sesi persidangan Dewan Rakyat digunakan dengan ungkit-mengungkit maka tidak aka nada kesudahannya.

“Kalau nak ungkit-mengungkit maka cerita ini tak ada akhirnya… kalau nak cerita panjang lagi, saya pergi Dengkil mereka kata wakil rakyatnya dah mati lama dah… maka bawalah perbahasan satu jam ini untuk kita bincang bagaimana untuk bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

Sidang Parlimen tersebut diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

Terdahulu, dilaporkan Biro Kebajikan UMNO Malaysia adalah antara kumpulan yang awal turun padang memberikan bantuan khususnya di kawasan terjejas teruk iaitu di Selangor ketika banjir melanda pada pertengahan Disember lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.