Rumah UMNO Didahulukan, Dijaga… Jangan Terikut Dakyah Politik Lawan – Rosnah Shirlin

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata sebagai kepimpinan dan ahli UMNO harus berjiwa besar dalam memainkan peranan dan jangan terbawa-bawa cetusan dakyah atau cerita-cerita palsu yang dibawa oleh musuh politik.

Katanya, pengalaman yang lalu sewajarnya menjadi sandaran dan kekuatan ahli UMNO bagi menghadapi apa saja bentuk cabaran.

“Saya melihat perkara ini tidak akan dapat dicetuskan sekiranya ahli UMNO memainkan peranan sebagai pemimpin dan tidak terbawa-bawa dengan dakyah atau pun sikap sesetengah pemimpin di luar sana dan bukannya dari kalangan ahli UMNO.

“Yang penting adalah kesatuan parti UMNO. Rumah kita yang perlu didahulukan di dalam apa saja tindakan dan jika rumah dijaga dengan baik siapa pun waima mereka yang berada di samping tidak akan mampu untuk menggugat kestabilan dan kesatuan parti kita,” katanya kepada kepada UMNO Online.

Jelasnya lagi, UMNO dan Barisan Nasional kini berada di dalam kerajaan dan perlu membuat tindakan dan keputusan demi kepentingan rakyat.

“Kita berada di landasan yang betul, kita kembali menerajui kerajaan dan ini seharusnya menjadikan sandaran untuk terus bersatu hati di kalangan pemimpin parti sendiri dan juga kerajaan perlu ada kebersamaan dalam membuat keputusan serta melihat permasalahan rakyat.

“Kalau ini dapat dikekalkan hingga menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang sudah tentu UMNO akan kembali meneraju kepimpinan negara dengan lebih bergaya dibandingkan dengan apa yang berlaku sekarang,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.