Respon Kepada Video Penjelasan Tengku Zafrul: Dengarlah Dan Bacalah Keluhan Rakyat!

SAYA meneliti video oleh YB Senator Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul yang memberikan pelbagai alasan untuk menolak permintaan rakyat bagi mengeluarkan wang KWSP kali terakhir sebanyak 10k. Pautan video tersebut boleh ditonton di pautan berikut:
https://fb.watch/aBG1B1zciI/

Saya harap Tengku Zafrul janganlah mengelirukan rakyat. Sebagai contohnya, walaupun anggaran pengeluaran wajib pencarum mencecah RM34 bilion setahun, tetapi caruman wajib yang diterima oleh KWSP pada tahun ini (2022) juga dianggarkan mencecah RM70 bilion (memgambilkira unjuran data daripada Tengku Zafrul sendiri).

Maka masih wujud lebihan tunai sebanyak RM36 bilion. Jadi apa masalahnya jika tuntutan i-Citra 2.0 ini dipenuhi memandangkan anggaran jumlahnya cuma sekitar RM25bilion hingga RM30bilion sahaja?

Ia tidak melibatkan apa-apa kecairan di pasaran modal atau memerlukan KWSP menjual apa-apa aset di luar negara yang merupakan sebahagian daripada aset KWSP berjumlah RM988.55 bilion.

Begitu juga alasan Tengku Zafrul bagi menolak cadangan melaksanakan Unconventional Monetary Policy. Walhal idea ini telah diaplikasikan oleh banyak negara dan terbukti dapat memperbaiki ekonomi negara-negara Eropah ketika krisis kewangan 2009.

Hakikatnya rakyat yang sedang susah dan terdesak tidak berminat dengan alasan teknikal dasar monetari negara kerana mereka tahu bahawa Akta KWSP 1991 sendiri membenarkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP apabila pencarum berdepan dengan krisis kehidupan seperti hari ini.

Pun begitu pelbagai solusi, cadangan penyelesaian dan alternatif yang kami turut berikan untuk mengembalikan dana yang dikeluarkan (replenish).

Saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak mahu menghabiskan masa melakukan perdebatan di media sosial. Lebih baik masa yang ada ini digunakan DS Tengku Zafrul untuk mencari jalan bagi membolehkan pengeluaran dapat dibuat dan mandat KWSP dapat dilaksanakan.

Kita boleh adakan sesi debat lain diantara saya dan DS Tengku Zafrul untuk beri keadilan kepada rakyat yang sedang menunggu dan berharap.

Tetapi kehendak dan keperluan rakyat mesti diutamakan. Janganlah mengeluh kononnya KWSP perlu menjual saham sedangkan rakyat sudahpun menggadai pelbagai tanggungan demi meneruskan kehidupan! – UMNO ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
#PemudaJurubicaraRakyat
#Kwsp
#icitra
#TradisiMembelaRakyat

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.