TEKUN Nasional Lulus 3,986 Permohonan SPIM Setakat Ini – Noh

SHAH ALAM, 16 Jan – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah meluluskan sebanyak 3,986 permohonan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) bernilai RM33 juta, setakat ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata 95 peratus daripadanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk diluluskan manakala selebihnya selama lapan hingga 14 hari susulan kekurangan maklumat.

Noh berkata setakat ini pihaknya juga telah menerima 23,277 permohonan SPIM dengan nilai pinjaman RM180 juta, termasuk 3,986 permohonan yang telah diluluskan.

“Oleh itu, kita terpaksa tangguhkan dahulu SPIM ini. Kita nak selesaikan dahulu permohonan yang belum diluluskan. Daripada peruntukan yang diagihkan, TEKUN akan cuba memberikan kelulusan secepat mungkin.

“Baki daripada RM200 juta ini kita simpan untuk berikan keutamaan khusus kepada usahawan (TEKUN) yang terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media program jelajah mesra Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke premis usahawan TEKUN di sekitar Shah Alam, hari ini.

Dari segi pinjaman banjir, TEKUN telah meluluskan 232 permohonan bernilai kira-kira RM2 juta dengan 114 permohonan itu di Selangor telah diluluskan yang melibatkan peruntukan RM1.1 juta.

Noh berkata selain pemberian pinjaman ini, kementerian itu juga sedang mengkaji supaya usahawan yang terjejas banjir boleh mendapat bantuan secara sekali beri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.