Usaha Lemahkan UMNO Gagal, Malah UMNO Semakin Mara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 berakhir musuh-musuh UMNO berusaha menamatkan sepenuhnya riwayat parti terbesar orang Melayu ini.

Katanya, sehingga ke tahap Presidennya diugut dan digertak supaya UMNO dibubarkan atau akan menanggung akibat.

“Sebilangan pemimpinnya yang lemah dan goyah ditawar keselesaan, jawatan atau kedudukan untuk melompat parti dan kemudian menghasut ahli UMNO konon parti itu sudah tiada masa depan dan memujuk supaya menyertai mereka.

“Muslihatnya agar UMNO bertambah lemah seusai tewas PRU-14 dan lama kelamaan musnah sendiri. Seterusnya mereka berusaha menggunakan saluran undang-undang untuk UMNO diisytiharkan parti yang tidak sah.

“Syukur ke hadrat Ilahi UMNO berjaya mendepani segala perancangan buas itu dengan bijaksana dan bangkit menentang dan selepas menyedari kesemua usaha mereka tidak berhasil, UMNO cuba pula dikawal supaya menuruti kehendak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perancangan licik itu juga tidak kesampaian, malah UMNO semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah.

“Alhamdulillah begitu teguh jati diri UMNO dan tidak sesekali berganjak daripada kebenaran walau ditekan dengan maha hebat.

“Rahmatnya sangat ketara apabila UMNO semakin berpadu, BN kembali diyakini rakyat dan menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, faktor utama kepada kekuatan dan kebangkitan UMNO itu kerana kemuafakatan para ahlinya di peringkat akar umbi.

“Sememangnya UMNO milik akar umbi, manakala barisan pimpinannya selaku pemegang amanah dan ini telah terbukti sinergi ketetapan akar umbi UMNO yang kemudian diterjemahkan pimpinannya adalah tepat,” ujarnya.

Justeru kata Presiden UMNO lagi, barisan pimpinan sedia ada tidak akan sesekali berpaling dan mengabaikan suara akar umbinya.

“Biarlah rasmi UMNO ini cuba ‘didalilkan’ sebagai berorientasikan barat selagi tidak menyanggah hukum Allah S.W.T.

“UMNO akan terus mendengar suara akar umbi apatah suara rakyat seperti yang tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.