Ikrar Teguh Bersama Institusi Presiden… Perkukuh Agenda Bela Agama, Bangsa Dan Negara – Bung

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin melahirkan keazaman untuk terus mendokong kepimpinan parti di bawah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membawa agenda membela agama, bangsa dan negara.

Katanya, kewibawaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu telah membawa perubahan kepada perjuangan parti keramat ini dalam melalui pelbagai ujian yang mendatang.

“Di Sabah kita berjaya mengharungi rintangan-rintangan ini dan kami memberi jaminan bahawa kami akan lengkap bersatu padu dan memberi sokongan padu kepada Presiden.

“Beliau sebagai pemimpin yang berwibawa membawa arus perjuangan parti yang mampu mengubah sesuatu kelemahan kepada kekuatan serta kekalahan kepada kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan presiden bersama UMNO Sabah yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk Yakub Khan serta kepimpinan bahagian-bahagian negeri itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jumaat.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan itu lagi, ini kerana Ahmad Zahid memainkan peranan besar kepada kemenangan UMNO/ BN Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Pertolongan presiden membantu kita mengambalikan maruah UMNO Sabah daripada Kimanis sehingga ke PRN Sabah.

“Untuk itu kami akan terus bersama parti untuk memastikan PRU akan datang UMNO/BN akan mencapai kejayaan.

“Kami akan terus usaha bersama dan iktiar dan akan akur dengan apa juga keputusan parti dalam PRU akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.