Cukup-cukuplah Syed Saddiq Bersandiwara, Rakyat Arif Realiti Sebenar – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 15 Jan – “Cukup-cukuplah bersandiwara kerana yang terperdaya mungkin orang luar yang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar sedangkan orang Muar dan Johor arif sangat dengan realiti sebenar dan mereka sesungguhnya tak sempat pun nak tengok drama kerana banyak lagi kerja lain yang perlu dilaksanakan.”

Demikian bidas Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap sikap Ketua Parti Politik Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masih terus-terusan mempolitikkan isu bantuan banjir.

Kata Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang, yang nyata, daripada ribuan sukarelawan dan puluhan NGO dari setiap pelusuk Johor dan Negara yang turun membantu, hanya Syed Saddiq seorang yang mahu merosak dan memburuk-burukkan imej Kerajaan Negeri Johor.

“Semuanya semata mata nak menutup kelemahannya sendiri. Namun saya pasti, rakyat Johor dan Muar terutamanya golongan belia dapat melihat siapakah YB Syed Saddiq yang sebenar-benarnya,” katanya dalam kenyataan media menerusi laman facebooknya hari ini.

Tegasnya, beliau tidak pandai berlakon dan bertiktok namun akan cuba menjawab setiap soalan mengenai banjir yang melanda Muar dan Johor sebaik mungkin.

“Ini bagi mengelak fitnah yang berterusan terhadap kerajaan negeri dan agensi agensi yang telah berhempas pulas dan bertarung nyawa tanpa henti sejak hari pertama berlakunya banjir di Johor.

“Saya sesungguhnya terus kagum malah terkesima dengan kebolehan YB Syed Saddiq dalam memilih, memanipulasi dan memutar belit maklumat dan fakta tentang banjir di Johor dan Muar bagi kepentingan politiknya sendiri.

Dalam masa yang sama beliau menimbulkan persoalan untuk dijawab oleh Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar selepas memenangi kawasan terbabit menerusi parti PPBM bersama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya umum (PRU) lalu.

“Saya berharap beliau akan menjawab satu sahaja soalan saya nanti. Ini bagi membantu memuaskan hati rakyat Muar dan Johor. Just one!

“Sekarang tiba masanya untuk YB menjawap soalan saya. Kalau ‘bran’ lah. YB menonjolkan diri sebagai pemimpin yang sangat menyayangi rakyat Muar dan Johor, tidak mementingkan diri sendiri, empati dan penyayang tapi kalau betullah YB sayang sangat dengan orang Johor dan Muar, mengapa hanya tiba di Johor pada 7 Januari 2022 walhal banjir telah bermula sejak 31 Disember lagi?

“Hampir tujuh hari orang Muar dan Johor menantikan hero mereka. Kalau setakat nak balik ke Muar dan turun padang, tak perlu kelulusan siapa-siapa ya YB.”

Terdahulu Onn Hafiz sekali menjawab persoalan yang dipolitikkan oleh Syed Saddiq iaitu:

Soalan pertama YB Syed Saddiq, “Kenapa takut sangat nak benarkan kami bantu rakyat?”

Jawapan: Kerajaan Negeri tidak takut, malah kami sangat mengalu-alukan semua pihak yang ingin menghulurkan bantuan. Sebab itu ribuan sukarelawan dibenarkan untuk membantu di Johor semenjak 1 Januari lagi.

Sebagai seorang pemimpin utama Parti Politik MUDA, saya pasti YB juga maklum bahawa dua permohonan pihak MUDA di Segamat telah diluluskan. Namun begitu, ada satu insiden di mana kelulusan telah diberikan namun MUDA tidak pulak muncul!

Ini YB tak buat pulak video. Saya harap YB akan berkongsi tentang kelulusan tersebut dalam video dramatis yang seterusnya.

Soalan kedua, “Nak saya buat apa lagi?”

Jawapan: Dalam mematuhi SOP di mana sebahagiannya melibatkan proses untuk mendapatkan kelulusan dan persetujuan, seperkara yang perlu YB ambil maklum adalah kadangkala sesuatu permohonan atau permintaan itu diluluskan dan kadangkala tidak diluluskan. Pejabat Daerah mempunyai senarai semak dan syarat untuk memberikan kelulusan atau menolaknya.

Walau bagaimanapun, YB boleh je menghubungi atau berjumpa dengan Pegawai Daerah/Pejabat Daerah Muar bagi membincangkan hal ini. DO Kawasan YB sendirikan. Pastinya YB ada hubungan yang baik dengan beliau atau pergi berjumpa dengan Beliau. Betul tak? Bukannya YB tidak kenal pegawai-pegawai di pejabat daerah Muar. Jadi tidak perlulah buat drama untuk mendapat perhatian. Sebab saya bimbang, mereka semua sibuk menangani segala permasalahan banjir dan tak sempat nak menonton drama YB di sosial media pun.

Soalan ketiga, “Ada double standard?”

Jawapan: Tidak. Terdapat 4 NGO lain yang memohon di Muar namun tidak diluluskan juga. Bukan tempat saya untuk menjelaskan sebabnya tetapi sila rujuk kepada jawapan saya dalam soalan kedua. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.