PAU 2021 Pada Mac Bagi Laluan PPV Mega Di WTC – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 adalah bagi memberi laluan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi pemberian suntikan dos penggalak yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula Sabtu ini sehingga 15 Mac.

Katanya, keputusan yang dicapai pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mengambil kira penggunaan berkapasiti penuh WTC yang dilaksanakan bagi PPV berkenaan.

“WTC ini dijadikan PPV Mega oleh Kementerian Kesihatan dan mereka telah berunding awal lagi dengan Putrade yang mana akan melibatkan 8,000 orang rakyat akan menerima dos penggalak di dewan-dewan yang ada di sini.

“Itu sebab kami menempohkan dua bulan itu jika tidak ada PPV ini sudah tentu kita boleh adakan PAU lebih awal.

“Pada tahun lalu pun kita lakukan PAU pada 27 hingga 29 Mac jadi pada tahun ini pun pada bulan yang sama… selepas ini tidak akan ada penangguhan lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan UMNO Sabah bersama presiden di WTC, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memberitahu bahawa pemakluman berkenaan tarikh PAU 2021 yang baharu telah diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada semalam.

Sementara itu, Ahmad juga berkata penangguhan penganjuran PAU ini juga membuktikan keprihatinan UMNO kepada keadaan semasa rakyat yang berdepan dengan musibah banjir dan pelaksanaan vaksinasi oleh kerajaan.

“Kita bertanggungjawab kepada rakyat… jentera kita berpuluh ribu orang membantu pada tiga peringkat banjir iaitu perpindahan, ketika mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan juga untuk pembersihan bangunan serta rumah yang terlibat.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan kita dan pemilihan tarikh dua bulan selepas tarikh asal itu pun kerana rakyat yang memerlukan suntikan vaksin dos ketiga jadi kita tidak mahu menganggu proses yang telah dibuat oleh KKM kerana ianya penting,” ujar beliau.

Terdahulu, mesyuarat MKT pada Rabu lalu menetapkan tarikh baharu PAU 2021 ialah pada 16 hingga 19 Mac 2022.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ahmad dalam satu kenyataan media malah beliau memaklumkan kehadiran perwakilan ke perhimpunan itu juga adalah melibatkan kesemua 14 orang perwakilan setiap Bahagian untuk menghadiri dengan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.