Kaji Selidik Pemuda UMNO Mendapati Pengeluaran KWSP Tetap Jadi Keutamaan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Dapatan kaji selidik awam mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijalankan oleh Sekretariat Pembangunan Dan Penyelidikan Pemuda UMNO mendapati jumlah mereka yang bersetuju cukup tinggi dan masing-masing berharap kerajaan memandang serius perkara berkenaan.

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Dan Penyelidikan Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata kajian awam yang merangkumi lebih 20,000 responden rata-rata mahukan perkara berkenaan mendapat kelulusan kerajaan dan data juga menunjukkan bahawa 97.12 peratus daripada jumlah tersebut bersetuju dengan pengeluaran tersebut.

“Kalau kita diskaunlah…sebab apa yang saya dengar ada yang mengatakan robotlah yang menjawab, ada yang mengatakan tidak perasan dan sebagainya, kita tolak lagi 10 peratus namun jumlahnya lebih 80 peratus lagi yang perlukan pengeluaran ini.

“Antara keperluan yang ditekan oleh mereka-mereka ini antaranya bebanan hutang, keperluan persekolahan, kelangsungan hidup malah ada juga yang mengatakan keperluan untuk barangan dapur dan paling penting bagi saya adalah modal untuk memulakan perniagaan. Malah ada juga yang mengatakan untuk kecemasan…anak sakit dan kecemasan lain serta kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini, hari ini. Turut serta Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose, ahli jawatankuasa sekretariat, Datuk Mohd Nizar Najib dan pimpinan Exco Pemuda yang lain.

Kata Azril lagi, kajian yang dijalankan oleh sekretariat berkenaan adalah secara rawak dan pihak ketiga digunakan untuk menjalankan kajian lapangan berkenaan.

“Kita jalankan kajian awam secara rawak dan tidak menggunakan identiti Pemuda UMNO sebaliknya sebagai orang awam dan juga penglibatan pelbagai pihak termasuklah kalangan mahasiswa dalam usaha mendapatkan hasil kajian tersebut.

“Sampel yang kita dapat ini menunjukkan kemahuan rakyat dan saya lihat ini adalah satu keperluan. Ingin ditekankan kajian yang dilaksanakan ini adalah ‘genuine’ serta tidak ada ’bias’. Kita gunakan pelbagai pihak untuk tahu sentimen masyarakat di bawah. Pelbagai latarbelakang sampel mahukan i-Citra ini.

“Jadi ingin ditekankan lagi sekali bahawa apa yang diutarakan dan apa yang dibawa oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini adalah betul dan apa yang Presiden UMNo, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebutkan adalah tepat. Jadi kita mintalah kerjasama daripada kerajaan  untuk melihat perkara ini secara serius,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.