Desas-Desus PRN Johor… Jika Berlaku, UMNO Perlu Lebih Berani – Norshida

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Desas-desus mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak malah dikatakan juga sedang bertiup kencang di pelbagai peringkat.

Lantaran itu pelbagai ramalan yang keluar dan sedang dijaja oleh pihak-pihak tertentu mengenai perkara berkenaan.

Bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, sekiranya perkara berkenaan benar-benar berlaku parti seharusnya lebih berani untuk tampil dengan mencalonkan mereka yang boleh menang dan bukannya mereka yang melobi bercerita tentang jasa lalu.

“Angin masih bertiup kencang PRN Johor akan berlaku. Ada yang kata bulan tiga, ada yang kata seusai Raya Cina. Ramailah yang jadi tukang ramal dan tahu semua serba serbi.

“Tidak kurang juga yang sudah mula jumpa sana, jumpa sini. Tidak kurang juga yang mula susun atur langkah serta strategi. Yang kita tidak tahu langkah dan strategi cara elok atau sebaliknya. Segalanya mungkin untuk kedudukan kerusi.

“Sekiranya PRN Johor benar-benar berlaku dalam masa terdekat ini, UMNO perlu lebih berani mencatur calon yang berpotensi menang. Bukan calon yang melobi bercerita tentang jasa masa lalu,” katanya di dalam satu perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi, PRN negeri berkenaan jika benar-benar realiti ianya adalah medan pertama buat pengundi 18 tahun untuk sama-sama membuat keputusan kelak.

“PRN Johor berkemungkinan besar menjadi medan pertama pengundi 18 tahun menggunakan dakwat memberi kepercayaan demi masa depan.

“Sejarah jasa masa lalu tidak pernah dinafikan, tetapi orang muda berfikir tentang perjuangan hidup di masa hadapan. Bukan hidup di sejarah masa lalu. Semoga Allah sentiasa kurniakan kita sebagai pemimpin yang memikul dengan kerjernihan akal fikiran dan ikhlas demi perjuangan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.