MKT UMNO Tegaskan Sokongan Terhadap Ismail Sabri Sebagai PM Kekal, Perlu Dimantapkan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri(PM) adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.

Demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat MKT UMNO malam tadi.

“MKT telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang,” katanya.

MKT UMNO telah mengadakan mesyuarat bulanannya di ibu pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn dengan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO telah dilantik sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos lalu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan melaksanakan tindakan pantas dan bersepadu bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat dalam kerajaan sebelum ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.